10 Perisian Asas untuk Pengguna Microsoft Windows

 

perisian asas

Tidak semua orang tahu apa perisian asas yang perlu dipasang di dalam komputer mereka.

Lagi-lagi bagi mereka yang baru sahaja membeli komputer riba baharu.

Ini bukannya masalah yang besar bagi anda yang telah lama terdedah dengan bidang IT.

Tapi, bagaimana pula yang sebaliknya?

Yang langsung tidak tahu apa-apa.

Lagipun, terdapat beribu-ribu perisian percuma dan berbayar di Internet. Boleh membuatkan anda bertambah bingung.

Mungkin juga anda tertanya-tanya…

Adakah perisian ini berguna?

Yang mana harus dipilih?

Kenapa perisian tertentu wajib dipasang di dalam komputer riba kita?

Persoalan demi persoalan mungkin bermain-main di fikiran anda. Anda perlu bijak memilih perisian yang betul.

Sebab apa?

Tidak semua perisian tersebut bermanfaat untuk anda. Ada yang boleh dikategorikan sebagai “sampah”.

Yang cuma melambatkan prestasi komputer riba anda.

Yang cuma menjangkiti komputer riba anda dengan perisian hasad.

Supaya anda tidak tersalah pilih, berikut adalah senarai perisian asas komputer yang saya gunakan pada hari ini.

Mari kita lihat senarainya di bawah.

1. 7-zip

perisian komputer yang paling asas

Ini adalah perisian pertama yang perlu ada di dalam komputer riba anda.

Perisian 7-zip adalah percuma. Ia digunakan untuk membuka fail yang mempunyai format:

  • 7z
  • XZ
  • BZIP2
  • GZIP
  • TAR
  • ZIP
  • WIM

…dan banyak lagi.

Ia juga memberikan nisbah mampatan 2-10% lebih baik berbanding dengan WinZip dan PKZip.

Ia turut berfungsi hampir di semua platform Windows seperti Windows 10 / 8 / 7 / Vista / XP / 2016 / 2012 / 2008 / 2003 / 2000 / NT.

2. CCleaner

perisian komputer yang paling asas

Ini adalah perisian paling popular dalam kalangan pengguna komputer. Setakat artikel ini ditulis, perisian ini telah dimuat turun hampir 2.5 bilion kali!

CCleaner merupakan perisian yang paling berkuasa dalam membersihkan fail yang tidak digunakan daripada sistem komputer kita.

Ia juga mampu membersihkan kesan aktiviti dalam talian seperti Internet history.

Perisian ini terdapat dalam bentuk Free, Professional dan Professional Bundle.

Nasihat daripada saya, lakukan pembersihan fail sekurang-kurangnya 2-3 minggu sekali (ikut berapa kerap anda menggunakan komputer).

3. Foxit Reader

perisian komputer yang paling asas

Foxit Reader digunakan untuk membuka fail yang mempunya format .pdf dan merupakan salah satu perisian yang lebih ringan berbanding dengan Adobe Acrobat Reader DC.

Perisian ini terdapat dalam dua jenis iaitu yang percuma dan berbayar.

Gunakan versi yang percuma jika anda hanya menggunakan perisian ini untuk membaca fail-fail .pdf.

Dulu saya juga pengguna Adobe Acrobat Reader DC tetapi sejak akhir-akhir ini ia seperti berat untuk digunakan. Sebab itu saya kini beralih kepada Foxit Reader.

4. Smart Defrag

perisian komputer yang paling asas

Smart Defrag merupakan salah satu perisian yang saya gunakan kerana ia lebih selamat, stabil dan mudah untuk diuruskan.

Fungsinya adalah menyusun data di dalam komputer kita supaya akses kepada program tersebut berlaku dengan pantas.

Seperti perisian lain, ia turut didatangkan dengan versi percuma dan berbayar.

Bagi saya, yang percuma ini sudah dikira memadai untuk kegunaan kita.

Susun data di cakera keras sekurang-kurangnya sebulan sekali atau apabila prestasi komputer riba kita terlalu lembab.

Sebelum terlupa, anda tidak perlu memasang perisian ini sekiranya anda menggunakan SSD.

Sebab apa?

SSD bukan seperti cakera keras (HDD) biasa.

Jangan lakukan defragmentation pada SSD kerana ia akan memendekkan jangka hayat SSD tersebut.

5. Revo Uninstaller

perisian komputer yang paling asas

Revo Uninstaller berfungsi membuang perisian dan program yang tidak diingini dengan cepat dan berkesan.

Merupakan alternatif terbaik berbanding dengan “Windows Programs and Features (Add or Remove Programs)”.

Sebab lainnya?

Ia tidak meninggalkan sisa-sisa fail di dalam komputer kita.

6. TeraCopy

perisian komputer yang paling asas

Saya kerap menyalin data daripada pen drive ke komputer riba.

Tidak kisahlah sama ada ia dokumen, foto, muzik atau video.

Bagaimana dengan anda pula?

Jika ya, perisian TeraCopy ini sesuai untuk anda yang selalu memindahkan fail yang besar.

Ia direka untuk menyalin dan memindahkan fail pada kelajuan yang maksimum.

Ia juga melangkau fail yang rosak ketika proses menyalin sedang berjalan.

Kemudian ia akan memaparkan fail yang rosak tadi pada akhir pemindahan.

Tujuannya untuk membolehkan anda melihat sendiri mana-mana fail yang perlu diberikan perhatian.

7. VLC Media Player

perisian komputer yang paling asas

Bosan dengan Windows Media Player?

Banyak muzik dan video tidak boleh dibuka kerana fungsi-fungsi yang terhad?

Apa kata anda cuba perisian seperti VLC media player.

VLC media player adalah pemain multimedia yang berasaskan sumber terbuka (open source) dan mempunyai kemampuan untuk memainkan kebanyakan daripada media codec dan format video.

Perisian ini wajib ada sekiranya kita menyimpan terlalu banyak format muzik dan video yang berbeza-beza.

8. Google Chrome

perisian komputer yang paling asas

Ini adalah salah satu alternatif kepada Internet Explorer.

Saya tidak pasti sekiranya anda masih setia dengan Internet Explorer atau Microsoft Edge.

Saya telah meninggalkan Internet Explorer dan kini beralih kepada Google Chrome.

Tapi ingat…

Pelayar Internet ini sebenarnya masih berguna kepada kita.

Selain digunakan untuk memuat turun Google Chrome untuk pertama kalinya, ia juga digunakan untuk mengakses laman web kerajaan kita.

Maksudnya?

Ada sesetengah laman web kerajaan tidak boleh dibuka dengan sempurna sekiranya kita tidak menggunakan Internet Explorer ini.

9. Photoscape

perisian komputer yang paling asas

PhotoScape merupakan perisian penyuntingan foto yang mudah dan menyeronokkan.

Sesuai bagi anda yang belum mempunyai bajet untuk membeli perisian berbayar seperti Adobe Photoshop.

Ada banyak lagi alternatif di luar sana yang boleh kita gunakan. Cuma, bagi saya perisian ini mempunyai fungsi-fungsi yang senang digunakan.

10. Microsoft Security Essentials

perisian komputer yang paling asas

Microsoft Security Essentials atau Windows Defender berfungsi melindungi PC anda daripada virus, spyware dan perisian hasad.

Antivirus ini adalah percuma sekiranya sistem operasi Microsoft Windows yang anda gunakan adalah asli.

Jika ada bajet lebih, usahakan untuk membeli antivirus berbayar.

Ia sangat penting sekiranya anda selalu menggunakan Internet untuk membuat transaksi dalam talian seperti mengakses laman web bank tempatan anda.

Selain daripada itu, ia juga mampu meningkatkan peratus kita selamat daripada serangan ransomware.

Tidak rugi anda melabur sedikit wang untuk melindungi data berharga di dalam komputer riba anda.

Perisian kegemaran anda tidak tersenarai?

Jangan risau, anda boleh pasang perisian-perisian lain mengikut kesesuaian dan keperluan anda.

Ingat.

Seperti yang saya katakan awal-awal tadi, bukan semua perisian yang anda jumpa di Internet itu berguna.

Ada satu hal lagi.

Elakkan memuat turun perisian-perisian cetak rompak.

Anda bukan sahaja menyusahkan orang lain tetapi dalam masa yang sama turut menyusahkan diri sendiri.

Jangan “bunuh” pembangun perisian kita tetapi bantulah mereka dengan membeli perisian yang asli.

Mungkin ada yang tidak tahu, perisian “cracked” yang anda gunakan tadi biasanya disertakan sekali dengan hadiah misteri seperti perisian hasad.

Tidak percaya?

Terserah kepada anda.

Jauhi perisian cetak rompak.

Boleh?

Oh ya, sebelum saya terlupa, sesetengah perisian percuma di atas tadi biasanya disertakan dengan bundled software.

Anda boleh pilih untuk membuang tanda semak (untick) pada bundled software ini agar perisian sampingan tidak terpasang di dalam komputer kita.

Saya harap penjelasan singkat di atas tidak memeningkan kepala anda.

Jika masih ada kekeliruan sila tinggalkan komen anda di bawah.

2 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.