Tips Memilih RAM DDR1, DDR2, DDR3 dan DDR4 untuk Pengguna Komputer Riba

random-access memory

Sepanjang saya membaiki komputer riba, saya sering ditanyakan soalan-soalan ini:

“Kenapa ni, saya dah reformat hard disk tapi laptop masih keluar blue screen?”

“Dah tukar hard disk baharu tapi laptop masih lembab nak masuk Windows, kenapa ya?”

“Semalam guna masih OK, hari ni bila nak ON, laptop pandai restart sendiri, ni kena virus ke apa?”

Pasti ada sebab kenapa masalah di atas muncul.

Antaranya sistem Windows dijangkiti perisian hasad, terdapat sektor rosak pada cakera keras, komputer riba tidak pernah diservis dan RAM mengalami kerosakan.

Ya, betul.

Salah satu perkakasan penting yang boleh mengalami kerosakan adalah RAM.

Sila perhatikan komputer anda jika ada tanda-tanda yang berikut:

  • kerap tergendala
  • mula semula (restart) secara tiba-tiba ketika digunakan
  • berlaku Blue Screen of Death (BSoD) secara rawak
  • boleh dihidupkan tetapi paparan pada skrin gelap-gelita
  • prestasi perlahan atau menurun
  • paparan ralat kerap muncul ketika memasang aplikasi
  • aplikasi tidak dapat dibuka dengan sempurna
  • anda menerima pemberitahuan yang mengatakan “low memory” atau “out of memory
  • komputer riba tidak boleh dihidupkan (kes ini jarang berlaku)

Semua masalah ini jika tidak diatasi akan mengganggu tugasan penting anda.

Jadi, apa yang harus anda lakukan?

beautiful girl with laptop

Jangan biarkan masalah ini mengganggu hidup anda. Tiap-tiap masalah ada jalan keluarnya.

Yang perlu anda lakukan adalah menukar atau membeli RAM yang baharu sahaja.

Ya, itu sahaja sebenarnya.

Emosi anda juga lebih tenang tanpa perlu memikirkan masalah yang remeh-temeh.

Nah, jika anda bercadang menukar RAM sendiri, ada baiknya anda baca beberapa tips yang bakal saya kongsikan di bawah ini.

Apa itu RAM?

Untuk yang belum tahu, ingatan capaian rawak atau random-access memory (RAM) ialah sejenis bentuk storan data komputer.

Ia adalah perkakasan fizikal yang menyimpan data secara sementara, berfungsi sebagai ingatan “kerja” komputer.

RAM tambahan membolehkan komputer untuk bekerja dengan lebih banyak maklumat.

Di samping itu, ia juga mempunyai kesan dramatik terhadap prestasi keseluruhan sistem.

Maksudnya?

Semakin besar RAM yang digunakan maka semakin laju kita boleh membuka aplikasi, melayari laman web atau menyunting hamparan.

Kelajuan dan jumlah RAM ini juga menentukan sejauh mana aplikasi tersebut boleh beroperasi dengan pantas.

Dan seberapa berkesan ia dapat melakukan berbilang tugas dalam satu-satu masa.

Ini contohnya…

…anda boleh buka Microsoft Office, Windows Media Player, Google Chrome dan lain-lain program sekaligus tanpa sebarang masalah (jika RAM anda besar).

what is random-access memory

Sebelum anda menukar atau menaik taraf RAM baharu, ada beberapa perkara penting yang perlu anda pertimbangkan. Antaranya:

  1. Saiz modul RAM
  2. Jenis-jenis RAM
  3. Kelajuan (speed) vs. kependaman (latency)
  4. Keserasian ingatan (RAM) dengan papan induk (motherboard)
  5. Jenama pengeluar utama yang boleh dipercayai

1. Saiz modul RAM

Berikut adalah beberapa saiz modul RAM yang mungkin pernah anda temui. Antaranya:

  • 512 MB – 1 GB RAM: Biasa ditemui pada komputer riba keluaran tahun 90-an / awal 2000. Hanya sesuai untuk melayari Internet, e-mel dan mendengar muzik.
  • 2 GB RAM: Cukup sederhana di mana ia sesuai untuk melayari Internet, e-mel, pemprosesan perkataan, program grafik mudah, permainan flash, mendengar muzik, menonton video dan berbilang tugas.
  • 4 GB RAM: Sekarang anda berada di wilayah sistem operasi 64-bit. Sesuai untuk melayari Internet, e-mel, pemprosesan perkataan, penyuntingan foto dan video, program grafik dan permainan serta berbilang tugas yang intensif.
  • 8 GB RAM: Sesuai untuk permainan berprestasi tinggi, penyuntingan multimedia, video definisi tinggi, reka bentuk grafik / pemodelan 3D dan berbilang tugas yang sangat intensif.
  • 16 GB RAM: Adakah anda menjalankan mesin maya atau sesuatu yang lebih tinggi daripada itu?
  • 32 GB RAM: Anda perlu berhenti di sini kecuali ini adalah pelayan yang kita bicarakan.
  • 64 GB+ RAM: Sama ada anda menggunakan pelayan atau anda benar-benar tidak siuman.

Cara memeriksa RAM yang terpasang di Windows 7

Kena ambil tahu saiz RAM yang terpasang untuk memudahkan anda menukar atau menaik taraf sekiranya RAM tersebut terlalu rendah.

Caranya?

  1. Dari Desktop atau Start Menu, klik-kanan pada Computer dan pilih Properties.
  2. Dalam tetingkap Sistem Properties, sistem akan menyenaraikan “Installed memory (RAM)” dengan jumlah keseluruhan yang dikesan.
  3. Contoh gambar di bawah menunjukkan terdapat 4 GB RAM yang dipasang di dalam komputer riba ini.

windows 7 system properties

Cara memeriksa RAM yang terpasang di Windows 8 dan 10

  1. Dari Start Screen atau Start Menu, taip ram.
  2. Windows akan memaparkan pilihan untuk “View RAM info”. Pilih pilihan tersebut.
  3. Tetingkap akan muncul dan anda boleh lihat berapa banyak RAM yang dipasang pada komputer riba anda.
  4. Dalam contoh di bawah RAM yang terpasang adalah 8 GB.

windows 8 system properties

Ini nasihat daripada saya…

Jika anda seorang pengguna biasa, 4 GB itu sudah dikira memadai.

8 GB – 16 GB hanya diperlukan sekiranya anda bermain permainan video dan terlibat dengan kerja-kerja suntingan foto dan video.

2. Jenis-jenis RAM

Ingat.

RAM komputer riba dan komputer meja adalah berbeza dan ia tidak boleh bertukar tempat.

Maksudnya?

Anda tidak boleh menggunakan RAM komputer riba untuk digunakan pada komputer meja.

Begitulah sebaliknya.

Contoh di bawah adalah RAM untuk komputer meja (desktop computer).

ram for desktop computer

Ini pula RAM untuk komputer riba (laptop).

ram for laptop

Lihat semula kedua-dua gambar di atas.

Jika anda perasan RAM untuk komputer meja biasanya lebih panjang berbanding dengan RAM komputer riba.

Sistem operasi yang anda jalankan turut mempengaruhi jumlah maksimum RAM yang boleh digunakan di komputer riba anda.

Had maksimum RAM untuk edisi Windows 7 32-bit adalah 4 GB.

Berikut ialah had (atau maksimum RAM yang disokong) untuk edisi Windows 7 64-bit yang lain:

microsoft windows 7 wallpaper

  • Windows 7 Home Basic: 8 GB
  • Windows 7 Home Premium: 16 GB
  • Windows 7 Professional: 192 GB
  • Windows 7 Enterprise: 192 GB
  • Windows 7 Ultimate: 192 GB

Untuk Windows 8.1 32-bit, had ialah 4 GB RAM. Untuk edisi Windows 8.1 64-bit yang lain:

microsoft windows 8 wallpaper

  • Windows 8.1: 128 GB
  • Windows 8.1 Profesional: 512 GB
  • Windows 8.1 Enterprise: 512 GB

Untuk Windows 10 32-bit, had ialah 4 GB RAM. Untuk edisi Windows 10 64-bit yang lain:

microsoft windows 10 wallpaper

  • Windows 10 Home: 128 GB
  • Windows 10 Pro: 512 GB
  • Windows 10 Enterprise / Education: 512 GB

Sekarang mari kita lihat beberapa jenis RAM secara ringkas di bawah. Antaranya:

  • DDR SDRAM (sukar ditemui pada masa kini)
  • DDR2 SDRAM (biasa ditemui pada komputer riba terpakai)
  • DDR3/DDR3L SDRAM (masih banyak komputer riba menggunakan RAM jenis ini)
  • DDR4 SDRAM (boleh ditemui pada komputer riba terkini)

DDR SDRAM

kingston 1 gb ddr-333 so-dimm

DDR (atau DDR1) SDRAM ialah double data rate synchronous dynamic random-access memory, sejenis kelas ingatan litar bersepadu yang digunakan di dalam komputer.

Harus diingat DDR1 SDRAM tidak serasi dengan modul RAM DDR2, DDR3 dan DDR4.

Dalam erti kata lain, DDR2, DDR3 dan DDR4 tidak akan berfungsi dengan papan induk yang dilengkapi dengan DDR1 dan begitulah sebaliknya.

chips and modules ddr sdram

Tidak ada perbezaan seni bina di antara DDR SDRAM yang direka untuk frekuensi jam yang berbeza.

Misalnya PC-1600 direka untuk berfungsi pada 100 MHz dan PC-2100 direka untuk berfungsi pada 133 MHz.

DDR SDRAM mempunyai 200 pin yang merupakan bilangan pin yang sama seperti DDR2 SDRAM.

Kedua-dua spesifikasi ini mempunyai takuk yang hampir sama dan perhatian lebih mesti diambil kira ketika memasang RAM ini.

Kebanyakan DDR SDRAM beroperasi pada voltan 2.5 V di mana ia dapat mengurangkan penggunaan kuasa dengan ketara.

Cip dan modul dengan standard DDR-400 / PC-3200 mempunyai voltan nominal 2.6 V.

DDR2 SDRAM

crucial 8 gb kit 2 x 4 gb ddr2-800 so-dimm

RAM ini keluar pada tahun 2003.

Komputer riba DDR2 SO-DIMM mempunyai 200 pin dan sering dikenal pasti dengan tambahan S dalam penamaan mereka.

chips and modules ddr2 sdram

DDR3 SDRAM

crucial 8 gb kit 2 x 4 gb ddr3-1866 so-dimm

Dikeluarkan pada tahun 2007.

Berbanding dengan ingatan DDR2, ingatan DDR3 kurang dalam penggunaan kuasa.

Pengurangan ini datangnya dari perbezaan voltan bekalan: 1.8 V atau 1.9 V untuk DDR2 berbanding dengan 1.35 V atau 1.5 V untuk DDR3.

chips and modules ddr3 sdram

Apa itu DDR3L dan DDR3U?

kingston hyperx impact black 4 gb ddr3l-1600 so-dimm

Standard DDR3L (DDR3 Low Voltage) adalah tambahan kepada JESD79-3 DDR3 Memory Device Standard yang menyatakan peranti ini mempunyai voltan yang rendah.

Standard DDR3L ialah 1.35 V dan mempunyai label PC3L pada modulnya.

Contohnya ialah DDR3L-800 (PC3L-6400), DDR3L-1066 (PC3L-8500), DDR3L-1333 (PC3L-10600) dan DDR3L-1600 (PC3L-12800).

Spesifikasi DDR3L dan DDR3U serasi dengan standard DDR3 asal dan boleh berfungsi sama ada pada voltan lebih rendah atau pada 1.50 V.

Ingat ini baik-baik.

Peranti yang memerlukan DDR3L yang beroperasi pada 1.35 V seperti sistem yang menggunakan pemproses Intel Core generasi keempat tidak sesuai dengan DDR3 yang beroperasi pada 1.50 V.

Standard DDR3U (DDR3 Ultra Low Voltage) adalah 1.25 V dan mempunyai label PC3U pada modulnya.

DDR4 SDRAM

crucial 32 gb kit 2 x 16 gb ddr4-2666 so-dimm

Ini adalah generasi terbaru yang terdapat pada komputer riba pada hari ini (keluar pada tahun 2014).

DDR4 beroperasi pada voltan di antara 1.2 V dan 1.4 V dengan frekuensi di antara 800 dan 2133 MHz.

DDR4 SO-DIMM mempunyai 260 pin berbanding dengan 204 pin pada DDR3 SO-DIMM, jarak 0.5 berbanding 0.6 mm, 2.0 mm lebih luas (69.6 berbanding 67.6 mm) tetapi mempunyai tinggi 30 mm yang sama.

chips and modules ddr4 sdram

Perbanding fizikal di antara DDR, DDR2 dan DDR3 untuk kegunaan komputer riba

laptop sodimm ddr memory comparison

3. Kelajuan (speed) vs. kependaman (latency)

Ada yang kata kelajuan lebih penting berbanding dengan kependaman.

Ada juga yang kata kependaman lebih penting berbanding dengan kelajuan.

Perdebatan ini bukan sahaja berlaku di beberapa forum komputer malah merebak ke media sosial seperti di Facebook group.

Saya akan menghuraikan bagaimana kelajuan dan kependaman ini berkait pada tahap teknikal.

Dan bagaimana anda boleh menggunakan maklumat ini untuk mengoptimumkan prestasi ingatan (memory) komputer riba anda.

Prestasi ingatan adalah mengenai hubungan di antara kelajuan dan kependaman.

Walaupun keduanya berkait rapat, ia tidak dihubungkan dengan cara yang anda fikirkan.

the perception and truth about latency

Takrifan dan persamaan sebenar kependaman

Pada peringkat asas, kependaman merujuk kepada kelewatan masa di antara suatu perintah atau arahan dimasukkan dan dilaksanakan.

Oleh kerana kependaman adalah mengenai jurang (gap), adalah penting untuk memahami apa yang berlaku selepas perintah dilaksanakan.

Apabila pengawal ingatan (memory controller) memberitahu RAM untuk mengakses lokasi tertentu, data mesti melalui sejumlah kitaran jam (clock cycle) di dalam Column Address Strobe.

Tujuannya untuk mendapatkan lokasi yang dikehendaki dan “menyelesaikan” arahan tersebut.

Dengan ini terdapat dua pemboleh ubah yang menentukan modul kependaman:

  • Jumlah bilangan kitaran jam data yang mesti dilalui (diukur dalam CAS Latency atau CL pada helaian data)
  • Tempoh setiap kitaran jam (diukur dalam nanosaat)

Menggabungkan dua pemboleh ubah ini memberikan kita persamaan kependaman:

latency equation

Paradoks kependaman (latency paradox)

Dengan melihat modul kependaman dari segi nanosaat, anda boleh menentukan sesuatu modul lebih responsif daripada yang lain.

Untuk mengira kependaman sebenar modul, darabkan tempoh kitaran jam (clock cycle time) dengan jumlah bilangan kitaran jam (number of clock cycles).

Nombor-nombor ini boleh dilihat di dalam dokumentasi kejuruteraan rasmi pada lembaran data modul.

speed vs. latency as memory technology has matured

Pening?

Saya yakin penerangan di atas sedikit membingungkan kerana terlalu bersifat teknikal.

Secara ringkasnya, berdasarkan analisis kejuruteraan mendalam dan ujian yang luas dalam Crucial Performance Lab, jawapan kepada soalan klasik ini adalah kelajuan.

Ya, kelajuan.

Secara umumnya apabila kelajuan telah meningkat, kependaman sebenar kekal sama.

Bermakna…

…kelajuan yang lebih cepat membolehkan anda mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi.

4. Keserasian ingatan (RAM) dengan papan induk (motherboard)

Saya tahu ramai yang melakukan kesilapan ketika memilih RAM.

Termasuklah saya dahulu.

Bak kata orang, pengalaman cinta itu mendewasakan kita.

Selain daripada melihat sistem operasi yang digunakan, anda juga perlu:

  • mengetahui saiz maksimum RAM yang disokong oleh papan induk anda
  • memastikan jenis RAM yang digunakan sama ada DDR (atau DDR1), DDR2, DDR3, DDR3L atau DDR4
  • menggunakan jenama yang sama dengan RAM asal

Tidak faham?

Supaya lebih mudah, saya akan menggunakan komputer riba Acer sebagai contoh.

Buka laman web rasmi Acer di Internet dengan menggunakan Microsoft Edge, Mozilla Firefox atau Google Chrome.

Masukkan Nombor Siri (S/N) atau SNID seperti yang ditunjukkan pada gambar di bawah.

Selepas itu, klik butang FIND.

Untuk jenama Acer, Nombor Siri atau SNID boleh ditemui pada bahagian bawah komputer riba anda.

acer support

Lihat bahagian yang paling bawah kemudian klik Product Details.

product support for acer aspire es1-511

Lihat bahagian Memory.

Sekarang kita sudah tahu saiz maksimum yang disokong oleh papan induk ini ialah 8 GB dan jenis RAM yang digunakan adalah DDR3L SDRAM.

product details acer aspire es1-511

Memandangkan papan induk ini menyokong DDR3L SDRAM, pastikan anda membeli RAM jenis DDR3L sahaja.

Jangan gunakan RAM jenis DDR3 kerana anda akan menghadapi masalah seperti tiada paparan skrin atau paparan gelap-gelita.

Andai kata papan induk anda cuma menyokong jenis DDR3 pula, anda boleh menggunakan RAM jenis DDR3 atau DDR3L.

Boleh faham setakat ini?

Untuk jenama RAM, sebaiknya anda menggunakan jenama yang sama dengan RAM asal di komputer riba anda.

Ya, tidak ada masalah sekiranya anda mahu menggunakan jenama yang lain.

Ada satu perkara lagi.

Sesetengah komputer riba pada masa kini hanya mempunyai 1 slot RAM sahaja (biasanya ada 2 slot).

Terdapat juga “RAM bersepadu” atau RAM diintegrasikan dengan papan induk komputer riba anda.

Maksudnya?

RAM tersebut telah dipasang bersama-sama dengan papan induk seperti gambar di bawah.

Jadi, jangan terkejut jika anda tidak menemui modul RAM pada sesetengah komputer riba pada hari ini.

ram are integrated into the motherboard

5. Jenama pengeluar utama yang boleh dipercayai

Ada beberapa sebab kenapa kita sebaiknya membeli ingatan (RAM) daripada pengilang utama.

Ini adalah disebabkan oleh tiga langkah kawalan kualiti yang digunakan dalam proses pembuatan.

Antaranya, traceability codes, burn-in testing dan guardband testing.

Traceability codes

Apabila melihat cip ingatan, pasti terdapat nombor siri yang dicetak pada cip tersebut.

Nombor ini digunakan untuk mengenal pasti dan membetulkan masalah yang mungkin berlaku dalam kumpulan (batch) modul tersebut.

Dengan menggunakan traceability codes, pengeluar cip (contohnya Micron) dapat menentukan bila bahagian itu dibina.

Yang mana satu “fab” dibina dan seterusnya dapat mengesan “silicon wafer” asal cip yang bermasalah.

Melalui pangkalan data maklumat ini, pengeluar cip dapat menentukan punca sebenar masalah ingatan.

Seterusnya membetulkan dan mengeluarkan satu kumpulan baharu modul yang lebih baik daripada sebelumnya.

Apabila anda membeli dari pengeluar asal, anda dapat memanfaatkan teknologi modul yang telah diperbaiki secara konsisten dari masa ke masa.

Burn-in testing

Selain kelebihan traceability codes, pengeluar tulen menggunakan proses yang dikenali sebagai burn-in testing.

Proses ini membantu menghasilkan modul berkualiti tinggi berbanding dengan syarikat yang memasang modul dari pelbagai komponen.

Ketika burn-in testing, cip akan melalui suhu tinggi untuk mengenal pasti sebahagian kecil cip dalam setiap kumpulan yang gagal selepas penggunaan yang minimum.

Dengan mengenal pasti dan mengeluarkan cip bermasalah tadi, pengilang asal dapat mencapai tahap kualiti dan kebolehpercayaan (reliable) yang lebih tinggi.

Guardband testing

Guardband testing membantu memastikan bahawa cip akan berfungsi dengan baik meskipun di bawah keadaan operasi yang tidak normal.

Di dalam komputer (dalam kes ini, komputer riba) suhu dan pemboleh ubah lain sering berubah dan guardband testing ini dilihat membantu dalam hal ini.

Apabila cip ingatan dihasilkan, biasanya ia mesti berada di dalam julat tertentu untuk mencapai tahap prestasi yang boleh diterima.

Dalam persekitaran pengkomputeran dan varians semulajadi, cip cukup dekat dengan pusat julat yang mana ia dapat berfungsi secara optimum.

Dengan hanya menguji dan meluluskan cip yang berada dalam julat “guardband” yang ketat, pengeluar dapat menghasilkan ingatan dalam penggunaan dunia sebenar.

Soalan yang lebih penting, siapakah pengeluar atau pengilang utama ini?

Terdapat banyak syarikat ingatan (memory) yang berada di pasaran tetapi hanya sedikit syarikat pengeluar ingatan yang sebenar.

Banyak syarikat yang mengaku sebagai pengeluar ingatan.

Padahal…

…mereka hanyalah pemasang modul (module assembler) sahaja.

Mereka cuma membeli bahagian-bahagian pra-pembuatan (seperti cip DRAM dan papan litar bercetak) daripada pengeluar ingatan yang sebenar.

Kemudian, memasang komponen-komponen tersebut untuk “mengeluarkan” modul dengan label mereka di atasnya.

Pembuatan ingatan sebenar melibatkan tahap kepakaran teknikal dan kawalan kualiti yang lebih tinggi.

Ia turut melibatkan segala-galanya daripada memilih silikon pilihan sehinggalah kepada pengujian modul yang boleh berfungsi.

Pengeluar ingatan sebenar turut mereka bentuk, membuat dan menguji modul di semua peringkat pengeluaran.

Modul ingatan terdiri daripada dua keping: cip semikonduktor DRAM yang menyimpan data dan papan litar bercetak (PCB) yang menghubungkan cip ingatan ke seluruh komputer.

Hanya segelintir pengeluar semikonduktor dengan keupayaan untuk menghasilkan cip DRAM.

Mereka adalah Micron (Crucial), Samsung dan Hynix.

Saya harap anda tidak sakit kepala membaca penerangan di atas.

Mudah-mudahan dengan membaca tips tersebut, anda mampu memilih RAM yang tepat untuk komputer riba anda.

Ada sebarang pertanyaan? Tinggalkan komen anda di bawah.

 

279 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.