20+ Peralatan Servis Laptop untuk Juruteknik Komputer
|Tidak pernah terlintas di fikiran yang suatu hari nanti saya akan menceburi bidang ini.
Saya masih ingat ketika masih menuntut di universiti, bidang yang saya ambil sangat jauh berbeza dengan apa yang saya lakukan sekarang.
Memandangkan keputusan saya tidak begitu bagus, saya memutuskan untuk mempelajari bidang kemahiran.
Fikir punya fikir, akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengikuti kursus membaiki komputer.
Kursus tersebut berjalan selama 3 bulan. Setelah tamat, saya keluar bekerja mencari pengalaman di sebuah kedai membaiki komputer.
Di sinilah saya mempraktikkan apa yang telah dipelajari sebelum ini.
Pada ketika itu kerja yang saya lakukan lebih kepada membaiki komputer meja (desktop computer).
Saya belajar cara memformat Windows, menyalin data (backup), membuang virus, menukar perkakasan dan pelbagai perkara teknikal.
Banyak kenangan pahit dan manis ketika saya bekerja di sini.
Selepas 6 bulan bekerja, saya mendapat tawaran untuk menyambung kemahiran dalam bidang elektronik di Alor Gajah, Melaka.
Kursus ini berjalan lebih kurang 1 tahun 3 bulan (jika tidak silap). Setelah tamat, saya balik semula ke kampung halaman untuk meneruskan minat saya dalam bidang ini.
Berbekalkan sedikit pengalaman yang ada sebelum ini, saya memberanikan diri untuk bekerja sendiri.
Saya membuka sebuah kedai kecil di kampung untuk memudahkan saya membaiki komputer pelanggan-pelanggan saya.
Pada masa itu, peralatan yang saya miliki masih serba kekurangan.
Saya mengumpul wang sedikit demi sedikit demi melengkapkan peralatan membaiki komputer saya.
Kepada anda yang mahu terjun ke dalam bidang ini, saya telah senaraikan beberapa peralatan servis komputer yang saya gunakan sekarang.
Kebanyakan peralatan yang saya senaraikan lebih kepada membaiki laptop.
Berminat?
Bagi saya, setakat minat sahaja tidak mencukupi.
Untuk membaiki laptop, anda perlukan ilmu dan beberapa peralatan asas untuk memudahkan kerja anda.
Dengan menggunakan alat yang betul, anda dapat mencapai hasil kerja yang tepat dan memuaskan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, dengan memiliki set pemutar skru saja pun anda sudah boleh bermula membaiki laptop.
Tapi kena ingat.
Jika mahu menjadikan bidang ini sebagai kerjaya, anda patut lihat senarai peralatan yang perlu dimiliki.
Tidak perlu semuanya.
Ya, sebahagian saja pun sudah memadai sebagai permulaan.
Seiring dengan peredaran masa, anda boleh melengkapkan peralatan anda satu persatu seperti mana yang saya lakukan sekarang.
Sekarang mari kita lihat senarai peralatan yang biasa saya gunakan untuk membaiki laptop pelanggan-pelanggan saya.
1. Set pemutar skru (screwdriver set)
Wajib.
Ini adalah peralatan atau alat bantu yang paling asas. Ia digunakan untuk mengetatkan dan melonggarkan skru.
Terdapat dua jenis pemutar skru yang biasa saya gunakan iaitu pemutar skru mata rata dan pemutar skru mata Philips.
Pemutar skru mata rata digunakan untuk mengetatkan dan melonggarkan skru beralur lurus.
Pemutar skru mata Philips pula digunakan untuk mengetatkan dan melonggarkan skru kepala Philips.
Salah satu set pemutar skru terbaik yang ada di pasaran adalah jenama Wiha (buatan Jerman).
Jika anda mampu, cuba dapatkan set pemutar skru Wiha PicoFinish 26193.
Ia memudahkan kerja dan meningkatkan kecekapan anda.
Selain daripada itu, anda juga mungkin memerlukan set pemutar skru Torx (Torx screwdriver set).
Saiznya bermula daripada T1 hinggalah ke T8 (boleh digunakan pada PC dan juga Mac).
Untuk komputer riba atau laptop, biasanya anda akan menggunakan pemutar skru Torx T3, T4, T5 dan T6.
Untuk set pemutar skru Torx, sebaiknya dapatkan Wiha PicoFinish 26793.
Ingat.
Gunakan pemutar skru yang tepat agar skru tersebut tidak cepat rosak.
2. Bekas skru (Tool organiser / Compartment box)
Saya masih ingat…
Dulu, kerja saya tidak begitu teratur. Saya banyak hilangkan skru pelanggan saya.
Ini membuatkan kerja saya kelihatan sangat amatur dan tidak profesional di mata pelanggan.
Mahu tidak mahu saya kena dapatkan juga bekas (tempat menyimpan) skru ini.
Ia digunakan untuk mengumpul dan menyimpan skru yang telah dibuka.
Seterusnya dapat mengelakkan ia hilang kerana saiznya yang begitu kecil.
Pastikan skru laptop diasingkan mengikut saiz. Jangan campur adukkan.
Contoh bekas skru ini adalah seperti Tool Box G460.
Apa kelebihannya?
- ideal untuk menyimpan dan menyusun aksesori kecil seperti skru, selak, paku, butang baju, klip kertas dll
- mempunyai dua sisi
- lutsinar, senang melihat barangan di dalam
- pemegang yang kukuh
- pemisah plastik boleh tanggal (removable plastic dividers) boleh dibuka untuk mendapatkan ruang yang lebih besar
- ringan
3. Tali pergelangan tangan antistatik dan conductive mat
Tali pergelangan tangan antistatik ini digunakan untuk bekerja pada peralatan elektronik yang sensitif.
Contohnya, ketika memeriksa papan induk laptop.
Ia digunakan untuk mengelakkan pembentukan elektrik statik pada badan kita yang boleh menyebabkan pelepasan elektrostatik (ESD).
Biasanya digunakan bersama-sama dengan conductive mat (lihat gambar di atas) ketika proses membongkar laptop sedang dijalankan.
4. Thermal grease (Arctic Silver 5 atau Noctua NT-H1)
Thermal grease adalah sejenis sebatian haba konduktif yang biasanya digunakan sebagai antara muka di antara heat sink dan sumber haba.
Sebagai contoh, ia biasanya digunakan pada permukaan pemproses (processor) laptop anda.
Thermal grease yang biasa saya gunakan adalah Artic Silver 5 atau Noctua NT-H1.
Nama lain bagi thermal grease ini adalah:
- CPU grease
- heat paste
- heat sink compound
- heat sink paste
- thermal compound
- thermal gel
- thermal interface material
- thermal paste
Ingat.
Jangan keliru di antara thermal grease dengan thermal pad.
5. Thermal pad
Thermal pad (thermally conductive pad atau thermal interface pad) biasanya berbentuk segi empat tepat.
Ia diperbuat daripada lilin parafin (paraffin wax) atau yang berasaskan silikon.
Biasanya ia digunakan di bahagian bawah heat sink untuk membantu pengaliran haba dari komponen yang disejukkan (seperti CPU atau cip yang lain).
6. Isopropyl alcohol (IPA) 99.7% atau ArctiClean
Isopropyl Alcohol (IPA) 99.7% mempunyai pelbagai kegunaan di rumah, dalam makmal, bidang perubatan dan industri pembuatan.
Dua kegunaannya yang paling popular adalah sebagai pelarut dan cecair pembersihan.
Sangat berkesan membersihkan kotoran yang sukar dicapai seperti pada papan kekunci dan bilah-bilah kipas laptop.
Oleh kerana ia menyejat serta merta ia selamat digunakan untuk membersihkan bahagian laser pada pemacu CD/DVD.
Saya biasanya menggunakan Isopropyl Alcohol (IPA) 99.7% untuk membersihkan papan induk (motherboard) laptop.
7. Berus antistatik
Jika boleh gunakan berus daripada jenis yang antistatik.
Berus antistatik selamat digunakan untuk membersihkan bahagian elektronik yang sensitif seperti papan induk (motherboard) laptop.
Jangan gunakan berus cat biasa!
8. Pry tools
Pry tools sangat berguna sekiranya anda mahu membongkar papan kekunci dan casing laptop.
Ia tidak meninggalkan bekas calar pada permukaan plastik yang dicungkil.
Jangan gunakan pemutar skru atau pisau untuk mencungkil casing laptop pelanggan anda.
Terutamanya ketika membaiki secara berdepan (face to face) dengan pelanggan anda.
Nanti nampak tidak profesional di mata mereka.
9. Hook and pick set
Hook and Pick Set digunakan untuk mengambil atau menarik kabel pada celah-celah yang sempit.
Alat bantu ini sangat berguna jika jari anda terlalu besar untuk menarik kabel tersebut.
10. Penyepit (tweezer)
Penyepit atau tweezer digunakan untuk mengambil objek yang terlalu kecil untuk dikendalikan oleh tangan manusia.
Biasanya ia digunakan untuk mengangkat komponen elektronik yang ditanggalkan daripada papan induk seperti kapasitor dan mosfet.
11. Multimeter digital
Multimeter digital merupakan peralatan yang wajib ada untuk memeriksa Voltan dan rintangan (resistance) pada papan induk laptop.
Ia juga boleh digunakan untuk memeriksa Voltan pada AC adapter.
Jika boleh dapatkan multimeter yang boleh diharap seperti daripada jenama Fluke.
12. BIOS programmer
BIOS Programmer wajib ada jika anda mahu memeriksa papan induk yang bermasalah.
Kadang-kadang masalah laptop yang tidak boleh hidup (ON) dan tiada paparan disebabkan oleh masalah BIOS.
13. SMD hot air rework station
SMD Hot Air Rework Station adalah alat yang mesti anda miliki sekiranya anda hendak membaiki papan induk laptop pelanggan anda.
Sesuai untuk kegunaan profesional yang memerlukan toleransi suhu yang tepat.
Unit yang sangat berkuasa ini boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi seperti:
- SMD reflow/repair/removal
- thermal IC stress testing
- thermoplastic welding
- shrink-wrapping.
14. Solder wire
Wayar pateri (solder wire) digunakan untuk memateri kaki komponen elektronik pada papan induk.
15. Fluks (flux)
Kegunaan utamanya adalah untuk mengelakkan pengoksidaan logam dan memperbaiki tahap lebur wayar pateri.
Ia juga membersihkan permukaan sentuhan daripada komposisi fluks.
16. Desoldering pump
Desoldering pump digunakan untuk menyedut sisa-sisa timah pada papan induk laptop.
Ia biasanya digunakan untuk menyedut timah pada kaki komponen yang besar seperti bahagian DC jack laptop.
17. Desoldering braid
Desoldering braid juga lebih dikenali dengan nama desoldering wick atau solder wick biasanya disalut dengan fluks rosin.
Cara penggunaan adalah dengan memanaskan tocang (braid) sehingga pateri cair dan sisa-sisa timah akan disedut melalui tindakan kapilari.
18. DC regulated power supply
Digunakan untuk menggantikan pengecas (charger/AC Adapter) yang membekalkan kuasa kepada papan induk laptop.
Ia turut digunakan untuk mengesan litar pintas (short circuit) pada papan induk laptop yang diperiksa.
19. Lampu meja
Lampu meja diperlukan untuk melihat papan induk dengan lebih jelas. Jika boleh dapatkan lampu meja yang mempunyai kanta pembesar.
20. USB 3.0 flash drive
Saya menjalankan semua aplikasi mudah alih dan mengemas kini perisian di dalam pemacu kilat USB 3.0.
Di samping itu, ia digunakan sebagai tempat penyimpanan data sementara.
21. Portable hard drive
Mempunyai portable hard drive sangat berguna sekiranya kita mahu memindahkan dan menyimpan fail-fail yang besar.
Biasanya data pengguna disimpan sementara di sini sekiranya cakera keras (hard disk) laptop pelanggan hendak diformat.
22. Portable DVD writer
Adalah baik untuk mempunyai portable DVD writer sekiranya anda perlu mengakses but (bootable) media seperti cakera (disk) Windows.
Sesetengah laptop pada masa kini tidak mempunyai pemacu CD/DVD.
23 . Hard drive adapter
Hard Drive Adapter adalah salah satu peralatan yang kerap saya gunakan untuk pemulihan data (data recovery) apabila sistem operasi Windows tidak dapat dibaiki.
Kadang-kadang laptop tersebut sendiri mengalami kegagalan perkakasan (hardware failure).
Ia juga berguna untuk memindahkan data daripada laptop lama kepada laptop baharu.
Senarai ini belum habis…
…alat-alat ini akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Sekarang giliran saya mahu bertanya, apa peralatan yang anda gunakan sekarang?
Mungkin anda boleh kongsikan di ruangan komen di bawah.
Assalam..saya nak kena buat kerja khusus perniagaan untuk SPM..nak Minta tolong bagi senarai komponan baiki dengan harga seunit boleh..harap dibalas
Hai Najihah Suffian, harga tersebut boleh dilihat sekiranya anda menekan pautan (link) setiap komponen pada artikel di atas.
brpa agaknya kos utk smua peralatan diatas ni sbg persiapan kpd juruteknik komputer
Hai Izudin, kalau tak silap dalam RM1000 – RM2000.
hi bro..sy minat nk belajar pc assemble utk beginner..ada link e-book yg bro boleh suggest?
E-book dalam B.M atau English?
boleh saya tahu tuan ambil kursus membaiki komputer dimana?
Nama tempat tu dah tak berapa ingat (sebab dah lama).. tapi lokasinya di Kota Kinabalu, Sabah.
Jika anda berminat dalam bidang ini, anda boleh belajar membaiki komputer di Touch Media Laptop Specialist.
Sya berminat dlm pelajari bidang ni….bagaimana untuk Sya mempelajari semua ilmu dalam bidang ni menggunakan Google?
Link yg ni Touch Media Laptop Specialist xblh bukak
Mungkin laman web mereka ada gangguan teknikal. Anda boleh hubungi mereka di pautan ini.
Hai AFTech… Kamu berasal dari Sabah kah atau macam mana? Sebab saya tengok Komen kamu, kmu belajar/Kursus di Kota Kinabalu Sabah. Area mana di Sabah ya kamu Kursus itu ?
Sy Orang Sabah.
Boleh WhatsApp saya ?
[Hidden]
Ya, saya memang berasal dari Sabah. Nama tempat tu tak berapa ingat sebab dah terlalu lama..
Jika anda berminat dalam bidang ini, anda boleh belajar membaiki komputer di Touch Media Laptop Specialist.
Hye,saya nak tanya dan minta tolong.Saya nak baiki hardrive (hardisk) saya yang rosak cuma ada satu jenis skru ni susah nak buka.Macam jenis hexagon.Saya tak tau nama skru tu apa.Tolong saya plss sampai sekarang tak baiki2 huhuhuhuu
Kalau ada data penting di dalam HDD, lebih baik hantar kepada yang pakar.. takut-takut kerosakan bertambah teruk.